http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Sastera/20091125082531/Article/index_html
Tragedi Amirul Fakir
Oleh Nazmi Yaakub
PERSEMBAHAN lagu puisi tanda simpati kepada Amirul Fakir. |
TRAGEDI seolah-olah dipentaskan secara puitis pada Malam Pelancaran Tabung Amirul Fakir (TAF) di Rumah Yayasan Kesenian Perak (YKP), Ipoh, baru-baru ini, apabila penyair dari ibu kota berkongsi rasa sebak dengan rakan kepenyairan, Amiruddin Hussin atau lebih dikenali Amirul Fakir di negeri bijih timah berkenaan.
Malam sempena Projek TAF yang dimulakan dengan jualan amal, tayangan filem pendek dan interaksi seni pada siang sebelumnya itu, turut dibasahi oleh hujan, sekali gus meruapkan rasa pilu terhadap penderitaan yang terpaksa dikunyah Amirul Fakir yang tidak dapat hadir pada majlis terbabit.
Keakraban dan keluasan pergaulan Amirul Fakir terserlah dengan kehadiran lebih 100 penonton termasuk Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said yang turut berkongsi perkenalannya dengan Amirul Fakir yang disifatkan sebagai sosok penyair yang pendiam.
‘Pementasan’ tragedi itu dimulakan dengan rasa sebak penyair dari Perak, Sabariah Bahari, yang membacakan Puisi kepada Amirul Fakir, sekali gus tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana baru mendapat khabar penderitaan penyair yang mencuri simpati temannya.
Betapa perkasa puisinya
Seno Gumira Ajidarma |
tajam jerit Amirul Fakir
semangatnya membangkit
resah anak bangsa.
Nur Hanim Mohamad Khairuddin |
Kala resah, kala dendam
kala sakit, kala aduh
hanya kita berdua menyanyi.
Penawar puitis pada penderitaan Amirul Fakir itu turut diungkapkan Timbalan Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad yang membacakan puisinya, Dengan Apakah Dapat Kubalas, bagaikan memahami sifat penyair berkenaan yang jarang berkongsi penderitaannya.
Pengerusi YKP, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, pula mengimbau detik perkenalannya dengan Amirul Fakir di tengah-tengah kekeliruan dan kegugupan akhir dekad 1990-an, melalui puisi prosaiknya, Berebut Jendela dan Musim Itu 3.
Penyair yang juga Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Shamsudin Othman, pula membacakan puisinya, Segugus Cinta di Negeri Kabut, sekali gus menyimpulkan peringatan yang sepatutnya dibaca dan ditelan khalayak terhadap takdir yang pasti.
Kita tercipta dari tanah
dan kita akan kembali ke tanah
cuma detik dan waktu
yang kita rindu
tak pernah memberikan jawapan.
Majlis yang dipengerusikan Nur Hanim Mohamed Khairuddin berjaya mengumpul RM1,773 dan bidaan senyap (RM1,500) itu, turut menampilkan Seno Gumira Ajidarma, Pyanhabib, Syed Mohd Zakir Syed Othman, Ahmad Shukri Abdullah, Rahmat Haron, Alina Abdullah dan Marini.
Nyanyian lagu puisi dipersembahkan oleh Meor Yusuf Azidin atau lebih dikenali sebagai Meor Folk yang turut melancarkan TAF, selain Airmas Fathullah, Chromatic Misteri, Sosound, APDR dan Space Gambus Experiment.
Terdahulu daripada itu, rombongan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) turut menziarahi Amirul Fakir di Ipoh untuk melihat perkembangan kesihatannya, selain menyampaikan sumbangan derma.
*** Airmas Fathullah tu saya kut, Berita harian tak pandai ekonomi langsung, kalau letak gambar saya kan laris jualan akhbar tu
2 comments:
sekali sekala numpang glamer fathul hehe
ya memang kesian ... tentu fathul tu malu nak keluar rumah
Post a Comment