Facebook Badge

9/25/2009

Menuju Sepi




Onche
semalam bukan yang terakhir
untuk kita berdiri
bermain ombak yang diutus Tuhan
juga bukan yang terakhir kali
untuk kita berlari
mengejar arus yang dirampas badai
Onche
seketika hayati, dari sesak baki nafas
kicauan ceria kehidupan
bebas berterbangan mencapai awan
seketika selami, permainan warna-warna
walau ini sedetik, perjalanan menuju sepi
Onche
masih tetaplah di sini
walau pasir mula menghanyut
leka mengikut telunjuk laut
kerana bukan yang terakhir untuk mengalah atau berserah kepada pasrah
bagaimanakah nanti harus kaujawab
sebuah pertanyaan menuju mati?

Ckbayu
Teluk Danga

'Aku tidak mau mati dalam sedih.' Katanya.

'Janganlah mati dulu'. Balas saya seolah terlupa segala ketentuanTuhan.

'Aku ikut terapi rohani di Pesantren Misbahul Ulum (PMMU) dan sekarang sering dipanggil ke khalayak.' Senyumnya seperti kembang hilang warna. Pucat tapi manis. Saya cuba bayangkan Aceh yang selalu bermain di bibirnya.

Alhamdulillah... Tuhan engkau berilah segala kekuatan kepadanya untuk berdepan saat-saat akhir dengan penuh kecekalan.

'Yok! kita terjun laut! Aku ingin betul.' Redup matanya tidak seperti dulu lagi. Hampir keseluruhan warna putih di matanya bertukar kuning. Nafasnya juga singkat. Sengsaranya dia.

Tuhan! jika saat ini Engkau mendengar, berilah sedikit lagi waktu-waktu-Mu kepadanya. Terimalah doaku...Amin.

* Onche sahabat saya yang mengidap leukemia dan membuat kerja-kerja amal sebagai Holistik Spiritual Advisor di Kabupaten Aceh Utara.

* Dan puisi saya sengaja saya biarkan tanpa tarikh..

***** dari Blog CK Bayu *************

No comments: